Sunday, February 1, 2009

Dunia Sains Aiman: Alam Ria Cuti Sekolah

Dunia Sains Aiman (Alam Ria Cuti Sekolah)
Penulis : Umi Kauthar Abdul Razak
Harga : RM13.50

+++

"Dunia Sains Aiman ini sangat menarik dan lucu. Akak baru belek-belek dan penat gelak. Penerangannya mengenai sains ringkas dan menggunakan bahasa yang mudah," Cik Pari-pari giat mempromosi buku Aiman tersebut. Cik Dilah menganggukkan kepala tanda bersetuju.

Selain promosi ringkas daripada mereka berdua, cover yang menarik juga menyebabkan saya akhirnya memilih sebuah buku daripada siri tersebut untuk dibaca. Terdapat dua buah buku dalam siri ini yang dibeli oleh Oren-ji iaitu kereta solar dan cuti sekolah. Saya memilih buku Siri Dunia Sains Aiman : Alam Ria Cuti Sekolah.

Buku ini menceritakan kisah berkenaan Aiman dan jirannya berbangsa Rusia iaitu Ivan dan Valentina menghabiskan cuti sekolah di rumah sepupu Ying Chun yang terletak di Tanjung Batu Rakit.

Terdapat banyak fakta sains yang disertakan dalam buku ini dan diterangkan menggunakan bahasa yang mudah. Aiman bercerita berkenaan planet Zuhrah, buruj, serta penjelasan mengenai bagaimana boleh mabuk kereta dari sudut sains. Manakala jirannya Valentina pula lebih menggemari sains Nutrisional Immunologi, iaitu salah satu cabang dalam bidang sains.

Di Tanjung Batu Rakit, mereka ditemukan dengan sepupu Ying Chun; William yang lasak serta kucingnya Tom yang gemuk dan manja. Mereka dibawa menjelajah ke Pulau Batu Rakit dan berpeluang menikmati banyak pengalaman baru.

Buku ini sangat sesuai untuk dibaca oleh kanak-kanak bagi mendekatkan lagi mereka dengan dunia sains. Buku ini disertakan ilustrasi dan komik ringkas yang membantu pembacaan.

0 Comments:

 

blogger templates |